Sunday 2 February 2014

Gaduh: Pekerja Bangladesh maut

KUALA SELANGOR 31 Jan. - Seorang pekerja kilang warga Bangladesh maut manakala tiga lagi rakan senegaranya cedera setelah dibelasah oleh 40 orang warga Nepal di asrama sebuah kilang di Ijok, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supritendan Mohd. Taib Ahmad berkata, dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, mangsa berumur 30-an mati akibat pendarahan teruk di bahagian kepala ketika dalam perjalanan ke klinik berhampiran.
"Berdasarkan maklumat awal, seramai 40 orang warga Nepal dan enam orang warga Bangladesh yang menetap di asrama itu terlibat pergaduhan berkenaan.
"Keadaan bertambah buruk apabila seramai 15 orang lagi warga Bangladesh yang tinggal di luar asrama berkenaan datang ke tempat kejadian dipercayai untuk membantu rakan senegaranya.
"Senjata utama yang digunakan dalam pergaduhan itu adalah kayu dan dipercayai mereka bergaduh di dalam asrama pekerja kilang terbabit," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat.
Mohd. Taib memberitahu, pihaknya telah menahan sembilan pekerja warga Nepal bagi membantu siasatan selain memantau kawasan kilang itu bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.
Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140201/je_06/Gaduh-Pekerja-Bangladesh-maut#ixzz2s9aOOcTc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki Bangladesh ditetak suami wanita cuba dirogol

ALOR SETAR 1 Feb. - Seorang lelaki warga Bangladesh yang cuba merogol seorang wanita berusia 50 tahun cedera di kaki kanan akibat ditetak oleh suami mangsa dalam kejadian di Kampung Teluk Wanjah di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, suspek berusia 40 tahun itu dipercayai tiba-tiba masuk ke dalam rumah mangsa melalui pintu hadapan dan merentap pakaian serta cuba merogol mangsa.
Mangsa cuba mempertahankan dirinya dan menjerit meminta pertolongan suaminya berusia 62 tahun yang ketika itu sedang mengupas buah kelapa di belakang rumah.
Suami wanita itu yang meluru masuk ke dalam rumah untuk membantunya terpaksa bergelut dengan lelaki itu dan suspek bertindak kasar dengan menumbuk bahagian dada suami wanita itu sehingga terjatuh.
Sewaktu pergelutan suami mangsa menetak lelaki tersebut pada bahagian kaki kanan dengan menggunakan parang yang digunakan untuk mengupas kelapa.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan mengklasifikasikan sebagai cubaan merogol dan kes disiasat mengikut Seksyen 375 Kanun Keseksaan.
Suspek yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140201/je_14/Lelaki-Bangladesh-ditetak-suami-wanita-cuba-dirogol#ixzz2s9ZU27Vy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kanak-kanak rentung dalam kebakaran di Tenom

KOTA KINABALU 1 Feb. - Seorang kanak-kanak lelaki berumur lima tahun ditemui rentung dalam sebuah rumah yang terbakar di Tenom, kira-kira 176 kilometer dari sini hari ini.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah di sini, mangsa, Mohd. Imel Abdullah ditemui di bahagian ruang tamu, rumah kayu itu di Kampung Mensasou, Tenom pada pukul 12.18 tengah hari ini.
Operasi itu yang diketuai Runzee Thani bersama seorang pegawai dan empat anggota, berjaya mengawal kebakaran dalam masa 45 minit.
Kenyataan itu juga menyebut panggilan kecemasan diterima pada 11.47 pagi dan jentera bomba tiba di tempat kejadian 23 minit kemudian. Punca kebakaran sedang disiasat. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140201/je_18/Kanak-kanak-rentung-dalam-kebakaran-di-Tenom#ixzz2s9Yw3rSJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

8 tentera ditahan isu kehilangan rifel M16

8 tentera ditahan isu kehilangan rifel M16