Sunday 2 February 2014

Gaduh: Pekerja Bangladesh maut

KUALA SELANGOR 31 Jan. - Seorang pekerja kilang warga Bangladesh maut manakala tiga lagi rakan senegaranya cedera setelah dibelasah oleh 40 orang warga Nepal di asrama sebuah kilang di Ijok, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supritendan Mohd. Taib Ahmad berkata, dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, mangsa berumur 30-an mati akibat pendarahan teruk di bahagian kepala ketika dalam perjalanan ke klinik berhampiran.
"Berdasarkan maklumat awal, seramai 40 orang warga Nepal dan enam orang warga Bangladesh yang menetap di asrama itu terlibat pergaduhan berkenaan.
"Keadaan bertambah buruk apabila seramai 15 orang lagi warga Bangladesh yang tinggal di luar asrama berkenaan datang ke tempat kejadian dipercayai untuk membantu rakan senegaranya.
"Senjata utama yang digunakan dalam pergaduhan itu adalah kayu dan dipercayai mereka bergaduh di dalam asrama pekerja kilang terbabit," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat.
Mohd. Taib memberitahu, pihaknya telah menahan sembilan pekerja warga Nepal bagi membantu siasatan selain memantau kawasan kilang itu bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.
Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140201/je_06/Gaduh-Pekerja-Bangladesh-maut#ixzz2s9aOOcTc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

1 comment: