Tuesday 11 November 2014

muka cari makan juara liga lawak superstar2

Selepas beberapa minggu bertarung dengan konsisten, akhirnya segala teka-teki siapa juara Liga Lawak Superstar musim kedua (LLS2) terjawab dengan kemenangan berpihak kepada pasukan Muka Cari Makan.
Dianggotai pelakon dan pengacara Naz Rahman, pelawak Pian Kepoh dan pemandu teksi, Uncle Jo pastinya Muka Cari Makan lebih dulu perlu bersaing sengit dengan pasukan Melodrama dibarisi Zulin Aziz, Izu Kepoh dan Ain.
Menerusi kemenangan itu, pasukan Muka Cari Makan berjaya membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM200,000 manakala Melodrama di tempat kedua pula memenangi RM100,000.
Disiarkan TV3 secara langsung dari De Showroom, Bandar Sri Damansara, malam kelmarin, pentas akhir LLS2 lebih dulu dibuka dengan pertandingan kalah mati membabitkan pasukan Melodrama dan Kami Tuan Rumah.
Kedua-dua pasukan ini meraih markah seri iaitu 113 mata pada persaingan semi final dan melayakkan masing-masing mendapat peluang kedua untuk menentukan siapa layak berentap dengan Muka Cari Makan.
Ternyata nasib lebih berpihak kepada Melodrama untuk terus mara manakala Kami Tuan Rumah yang diwakili Zoey Rahman, Achok MMMMM & Mirul terpaksa akur mereka tersingkir dan meraih tempat ketiga.
Justeru, Kami Tuan Rumah sekadar membolot RM50,000 dan tempat keempat pula menjadi milik pasukan Jiwa Kiut dianggotai Aepul Drama Band, Chiwan MMMMM & Syafiq Rahim dengan hadiah RM25,000.
Dihoskan gandingan pelakon Adibah Noor dan Afdlin Shauki, persembahan keseluruhan peserta pula dinilai juri profesional terdiri daripada Erma Fatima, Khir Rahman dan Aziz M Osman selaku juri undangan.
Pada pentas akhir itu, pasukan Muka Cari Makan berjaya mengumpul kutipan markah 69 mata berbanding Melodrama, 64 mata. Keputusan kemenangan tipis itu bagaimanapun dianggap sebagai rezeki anak.
Naz yang turut diraikan sempena ulang tahunnya ke-36 selepas kemenangan itu berkata, dia tidak menyangka kemenangan berpihak kepada pasukan Muka Cari Makan.
Katanya, mereka hanya naik ke pentas untuk bertanding.
"Kami tidak melihat kelebihan dan kekurangan di antara pasukan. Apa yang kami tahu, kami dalam pertandingan dan harus memberikan yang terbaik untuk penonton asalkan mereka terhibur.
"Pada kami menang atau kalah adat bertanding. Jadi, matlamat utama pasukan Muka Cari Makan ialah memastikan penonton gembira. Bagaimanapun, tak dinafikan saingan diberi Melodrama tak kurang hebatnya," katanya.
Bagi Uncle Jo pula, dia sangat teruja dengan kemenangan itu kerana sekurang-kurangnya sudah merealisasikan impiannya menceburi bidang seni.
Katanya, dia menyimpan cita-cita untuk pergi lebih jauh lagi.
Kata bapa kepada tujuh anak berusia 11 bulan hingga 23 tahun itu, meskipun sepanjang 53 tahun usianya dia tidak pernah beraksi di atas pentas tetapi peluang diperoleh nyata tidak disia-siakan.
"Pada mulanya saya hanya menemani rakan yang berminat menghadiri uji bakat LLS2 ini. Namun, di atas galakan diberi rakan itu, saya juga memberanikan diri untuk mencuba nasib pada uji bakat berkenaan.
"Sudahnya, rakan tidak terpilih tetapi saya yang berjaya untuk ke peringkat seterusnya. Sejak mendapat peluang yang bermakna dan diimpikan ini, saya nekad akan membuat persembahan terbaik," katanya.
Menurut Uncle Jo lagi, usia yang makin meningkat juga membuatkan dia kini kurang sihat untuk terus memandu teksi.
Katanya, badan bukan saja mudah letih, namun sudah mula sakit-sakit jika memandu agak lama.
Pian berkata, sebagai pelawak baru dia menganggap kejayaan itu sebagai platform terbaik untuk terus maju.
Katanya, dia berasa sangat bertuah dapat berganding bahu bersama Naz dan uncle Jo di pentas LLS2 itu.
Muka Cari Makan layak menang
Jika persembahan itu ikhlas dan tulus, pasti penonton juga dapat merasainya. Begitulah kata sepakat barisan juri yang menilai persembahan pentas akhir LLS, kelmarin.
Erma berkata, kerja keras pasukan Muka Cari Makan setiap minggu untuk memberi persembahan terbaik dan menghiburkan penonton nampaknya berbaloi.
"Saya melihat kumpulan ini cukup tulus dalam persembahan mereka. Mereka berjuang secara adil dan tidak mengejar kemenangan.
"Umpamanya, kalau menang itu adalah rezeki dan jika kalah pun tak apa. Asalkan bagi mereka, penonton terhibur pada setiap pertarungan sketsa dipersembahkan," katanya.
Menurut Erma, apa yang dilihatnya dengan jelas ialah kerjasama berpasukan Muka Cari Makan yang komited serta komunikasi mereka sesama sendiri juga agak baik.
Bagi Khir pula, apa yang pasti bukan mudah untuk berlawak.
Katanya, menjadi satu cabaran besar kepada peserta untuk memastikan lawak dipersembahkan menjadi.
"Apa yang sudah ditunjukkan Muka Cari Makan dan Melodrama serta kumpulan lain dalam LLS2 ini harus dipuji. Bagi saya, ia bukan perkara mudah.
"Namun, apa yang pasti mereka berani menyahut cabaran. Saya akui apa yang dilakukan pasukan bertanding ini cukup hebat," katanya.
Aziz berkata, apa yang dilihatnya pada persembahan Muka Cari Makan ialah ketulusan dan persembahan pasukan itu begitu ikhlas.
Menurutnya, disebabkan itu dia tidak terkejut apabila Muka Cari Makan diumumkan sebagai juara.
Kata Aziz, pasukan itu memang layak untuk menang

No comments:

Post a Comment