Tuesday 11 November 2014




Seremban: Star Cruises (www.starcruises.com), syarikat kapal pelayaran terkemuka Asia Pasifik menerusi SuperStar Aquarius memulakan pelayaran melalui laluan baru dari Kota Kinabalu, Sabah ke Bandar Puerto Princesa, Filipina, Sabtu lalu.
Pengenalan laluan baru itu seiring dengan kembalinya SuperStar Aquarius yang berpangkalan di Kota Kinabalu bagi tempoh empat bulan bermula 8 November hingga 1 Mac 2015.
Wakil Presiden Pemasarannya Cynthia Lee berkata, Star Cruises menawarkan pakej percutian atas kapal selama empat hari tiga malam dari Kota Kinabalu ke Bandar Puerto Princesa; pakej percutian dua malam berlayar atas kapal dan pakej berlayar semalaman atas kapal.
Menurutnya, pemilihan ke wilayah Pulau Palawan itu berikutan potensi bandar itu yang semakin menjadi pilihan utama pelancong dari seluruh dunia.
“Kami menawarkan harga pakej serendah RM2,000 untuk pelayaran selama empat hari tiga malam dan kami menyediakan pakej untuk pelancong beragama Islam.
“Apabila pelayaran bermula, ia dijangka berlabuh di Bandar Puerto Princesa itu jam 3 petang dan memulakan perjalanan semula jam 3 petang keesokannya. Pelancong berpeluang mengunjungi bandar berkenaan termasuk melawat beberapa destinasi menarik yang ditawarkan melalui pakej sedia ada,” katanya.
Menurut Cynthia pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga disediakan sekiranya pelancong berhasrat untuk berada dalam kapal pelayaran sepanjang hari.
Destinasi baru kapal pelayaran di Pulau Palawan itu memberi peluang kepada pelanggannya untuk melawat Taman Negara Puerto Princesa yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudyaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Tapak Warisan Dunia.
“Taman negara berkenaan juga diiktiraf satu daripada tujuh keajaiban dunia kerana memiliki sumber alam yang cantik seperti hutan simpan, pantai pasir putih, pelbagai spesis hidupan, gua serta sungai bawah tanah terpanjang di Laut China Selatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment